Bisnes

Ringgit dibuka Lebih rendah berbanding dolar AS

image
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini walaupun unit negara maju itu susut semalaman dengan tumpuan kembali terarah kepada harga minyak mentah serta mesyuarat kumpulan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan bukan anggota OPEC (OPEC+) pada Khamis ini. Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan pada 4.3550/3650 berbanding dolar AS daripada 4.3350/3450 sewaktu ditutup pada Selasa. Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perasaan bercampur-baur membabitkan kemungkinan pengeluaran minyak dihadkan, penurunan angka kematian COVID-19 di beberaga negara kuasa besar ekonomi dunia serta kejatuhan ketara indeks utama di Wall Street menyebabkan pasaran pertukaran asing tidak banyak mengalami perubahan. "Andaian bahawa ekonomi memakan masa untuk kembali pulih walaupun langkah seperti kawalan pergerakan akibat COVID-19 ditamatkan juga menyebabkan sentimen mengelak risiko akan terus berlaku. "Atas alasan itu, ringgit dijangka kekal lemah berbanding dolar AS dalam lingkungan RM4.35 hingga RM4.37 berikutan tindak-tanduk pelabur yang lebih bertahan dan lebih meminati mata wang selamat," katanya kepada Bernama. Sementara itu, Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata ringgit terus menjadi sasaran dan menerima impak turun naik harga minyak berikutan semua pihak memberi tumpuan terhadap mesyuarat OPEC+ tersebut. Menerusi satu nota penyelidikan hari ini, beliau berkata unjurannya kekal positif berikutan usaha kerajaan melaksanakan pakej rangsangan dengan tanda-tanda penurunan COVID-19 di beberapa negara yang dijangkiti teruk virus itu sebelum ini. "Apa lebih penting dalam pandangan itu adalah fakta bahawa China kini bangkit kembali. Oleh itu akan ada pasaran eksport yang baik bagi industri Malaysia apabila rakyat meneruskan semula aktiviti seperti biasa selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir," katanya. Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama. Ia susut berbanding euro pada 4.7343/7469 daripada 4.7173/7291 sewaktu ditutup pada Selasa dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0527/0608 daripada 3.0415/0496. Ringgit juga rendah berbanding yen Jepun kepada 4.0053/0156 daripada 3.9723/9826 dan susut berbanding pound Britain kepada 5.3654/3794 daripada 5.3376/3526, semalam.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda