Berita Semasa

Kerajaan Negeri harus ambil Tahu iktibar bantahan masyarakat

image

KOTA KINABALU: Bantahan masyarakat terhadap penganjuran pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan pada 31 Mei ini, yang akhirnya ditunda, harus dijadikan iktibar oleh kerajaan negeri hari ini.

Mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Datuk Johnny Mositun percaya sebarang keputusan selain tunda atau batal pasti tidak akan diterima oleh masyarakat.

“Pengerusi jawatankuasa induk Kaamatan negeri Datuk Peter Anthony sepatutnya sedar bahawa adalah lebih baik mendengar suara rakyat daripada suaranya sendiri,” katanya.

Mositun yang juga ahli seumur hidup KDCA berkata demikian mengulas laporan penundaan pertandingan Unduk Ngadau dan Sugandoi Kaamatan seperti diumumkan oleh Peter semalam.

Beliau berkata Peter sepatutnya mendengar suara rakyat dengan hati terbuka dan bukannya bertindakbalas secara negatif.

“Daripada mengutuk, Peter patut berterima kasih kepada mereka yang memberi cadangan mengenai isu ini,” katanya.

Mositun berkata sekiranya benar laporan dalam satu blog yang menyatakan Peter merujuk kepadanya seperti seekor babun terkena belacan kerana mempertikaikan penganjuran pertandingan Unduk Ngadau itu, beliau (Mositun) khuatir ianya menunjukkan tahap pemikiran para pemimpin dalam kerajaan negeri sekarang.

“Tidak ada gunanya bagi saya untuk turun ke tahap serendah itu, memadailah saya katakan bahawa Peter telahpun mengaku kesalahannya sendiri apabila membuat keputusan pusingan U,” katanya.

Mositun berkata masyarakat membantah kerana benar-benar mahukan pandemik Covid-19 dihentikan dengan apa cara jua.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan terhadap kenyataan awal saya menggesa agar Kerajaan Negeri membatalkan pertandingan Unduk Ngadau itu,” katanya.-SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda