Berita Semasa

Pertukaran kerajaan Pusat punca kelewatan projek Pan Borneo Disiapkan

image

KOTA KINABALU:  Pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan pada 2018 menjadi punca kelewatan pembinaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dinantikan oleh rakyat Sabah 

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata ekoran daripada pertukaran itu telah menyebabkan penyelia pelaksana projek pembinaan lebih raya itu beralih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah secara total.

“Terdapat sedikit kelewatan terhadap perlaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah. Bagi 11 pakej yang telah ditawarkan, tahap kemajuan fizikal sepatutnya jika mengikut kontrak asal peratusan kemajuan kerja ialah 32 peratus.

“Tetapi pencapaian sebenar setakat ini hanya mencecah 21.2 peratus. Laluan Lebuh Raya Pan Borneo yang dirancang untuk dibina ini adalah sejauh 1,236 kilometer (km) adalah nadi penting penggerak ekonomi negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim memberitahu berdasarkan perancangan Kementerian Kerja Raya, projek itu akan dilaksana secara berfasa.

Fasa pertama, kata beliau lagi adalah sejauh 706 km bermula dari Sindumin – Kota Kinabalu – Batu 32 Sandakan – Tawau dan juga jalan pesisir pantai dua lorong dua hala dari Tuaran ke Kudat.

Bagi fasa kedua pula, menaiktaraf jalan raya sedia sejauh 98 km dari Tamparuli ke Ranau manakala fasa ketiga sejauh 432 km dari Tawau – Kalabakan – Keningau – Kimanis.

“Keseluruhannya di pecahkan menjadi 35 pakej jika mengikut perancangan asal.

“Bagi jalan pesisir pantai dari Tuaran ke Kudat sepatutnya memiliki enam pakej. Tetapi yang telah ditawarkan setakat ini hanya satu pakej iaitu jajaran jalan dari Pituru ke Rampayan laut sejauh 32.2 km yang setakat ini 11.5 peratus.Jika mengikut jadual mengikut kontrak asal, peratusan kemajuan sepatutnya 20.70 peratus,” katanya.

Abdul Rahim berharap kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kerja Raya yang baharu iaitu Datuk Seri Fadhilah Yusof dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan perlaksanaannya berdasarkan pengalaman beliau semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Katanya rakyat sabah amat berharap beliau (Fadhilah) dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan projek ini kembali berada ke landasan yang betul dan dapat menyegerakan perlaksanaannya.

Beliau berkata perlaksanaan projek ini khususnya jalan pesisir pantai dari Tuaran – Kota Belud- Bingolon (Kota Marudu) – Kudat diharap menjadi `game changer’ kepada ekonomi Sabah khususnya di pantai barat utara Sabah. – Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda