Luar Negara

WHO Memberi amaran 'gelombang kedua' di negara kes COVID-19 menurun

image

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran negara di mana kes jangkitan COVID-19 menurun berhadapan 'gelombang kedua' dengan segera jika terlalu cepat melonggarkan sekatan bagi mengekang wabak itu.

Pakar Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan melalui taklimat dalam talian, berkata dunia masih dalam peringkat 'gelombang pertama' dan sementara kes menurun di banyak negara, ia masih meningkat di Amerika Tengah dan Selatan, Asia Selatan dan Afrika .

Ryan berkata, wabak sering muncul dalam beberapa peringkat gelombang, bermakna wabak boleh muncul kembali akhir tahun ini di tempat di mana gelombang pertama reda, menurut laporan agensi berita CNA.

Beliau berkata, ada kemungkinan kadar jangkitan dapat meningkat dengan lebih cepat jika langkah untuk menghentikan gelombang pertama dilonggarkan terlalu cepat.

"Apabila kita berbicara mengenai gelombang kedua secara klasik, apa yang sering kita maksudkan adalah gelombang pertama penyakit itu sendiri, dan ia berulang beberapa bulan kemudian.

"Itu mungkin terjadi kepada banyak negara dalam beberapa bulan tetapi kita juga harus sedar bahawa kes jangkitan penyakit ini dapat meningkat setiap saat.

"Kita tidak boleh membuat andaian bahawa hanya kerana penyakit ini sedang menular sekarang, ia akan terus menurun...kita memerlukan beberapa bulan untuk bersiap sedia bagi gelombang kedua.

"Kita mungkin mengalami puncak kedua dalam gelombang ini," katanya.

Ryan berkata, negara Eropah dan Amerika Utara harus 'terus menerapkan langkah kesihatan dan sosial masyarakat, langkah pengawasan, langkah pengujian dan strategi komprehensif untuk memastikan ia terus berada di lekuk bawah dan tidak meningkat segera ke puncak kedua'.

Kebanyakan negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa minggu terakhir menarik balik langkah perintah berkurung

yang dapat membendung penyebaran wabak tetapi pada masa sama menjejaskan ekonomi. - AGENSI

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda