Hiburan

Kerajaan digesa Membatalkan Pertandingan Unduk Ngadau di Hongkod 31 Mei ini

image

KOTA KINABALU: Keputusan jawatankuasa penganjur Pesta Kaamatan negeri untuk mengadakan pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan di Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei nanti adalah cuai dan tidak bertimbang rasa, kata seorang ahli seumur hidup KDCA.

Datuk Johnny Mositun berkata beliau gagal melihat rasional disebalik tindakan jawatankuasa itu yang diketuai oleh Datuk Peter Anthony yang mendesak mahu mengadakan pertandingan itu walaupun rakyat masih bergelut dengan masalah Covid-19.

“Sejak pengumuman Peter semalam, saya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang begitu bimbang dan mereka percaya ianya membawa risiko kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas kata Mositun, keputusan Peter meneruskan acara kebudayaan masyarakat KDM ini tanpa memikirkan perasaan orang ramai.

“Sebagai langkah mengawal penularan pandemik Covid-19, Hari Raya Aidil Fitri tahun ini dirayakan dengan cara amat berlainan sehingga ibadah sembahyang di pagi Raya pun ditiadakan.

“Bukan itu sahaja, penganut agama lain di negara ini turut dilarang daripada menjalankan ibadah di tempat sembahyang masing-masing sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Jika masyarakat dapat bertahan daripada menghadiri upacara keagamaan yang begitu penting demi mencegah penularan coronavirus, saya fikir bukanlah menjadi satu masalah besar sekiranya kita terlepas pertandingan Unduk Ngadau atau Sugandoi untuk sekali ini sahaja,” katanya.

Mengenai kenyataan Peter bahawa pertandingan akhir Unduk Ngadau itu nanti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengehadkan kehadiran tidak lebih daripada 50 orang dalam dewan, Mositun memberi amaran kemungkinan perkara lain boleh terjadi.

“Pertandingan Unduk Ngadau sebagai acara utama Pesta Kaamatan sentiasa menarik perhatian ramai. Walaupun tidak sampai 50 orang dibenarkan berada dalam dewan Hongkod Koisaan nanti tetapi bagaimana pula di luar dewan?

“Adakah ahli keluarga dan para penyokong peserta akan dilarang daripada menunggu di luar dewan?” katanya.

Oleh itu, Mositun menggesa Peter membatalkan pertandingan Unduk Ngadau tersebut dan sebaliknya menyalurkan wang hadiah berjumlah RM150,000 sebagai bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Pertandingan Unduk Ngadau diadakan setiap tahun untuk mengingati dan menghormati pengorbanan Huminodun. Saya percaya masyarakat akan memberi lebih penghargaan sekiranya pertandingan Unduk Ngadau tahun ini ‘dikorbankan’ demi kesihatan kita,” katanya.

Dalam pengumumannya, Peter berkata mereka yang berminat menyertai pertandingan Unduk Ngadau boleh menghantar video rakaman mereka untuk diletakkan dalam Facebook Page pertandingan, di mana pemilihan Top Seven (tujuh peserta teratas) akan diundi secara online pada 29 Mei nanti.

Tujuh peserta terbaik akan berentap dalam pusingan akhir di Hongkod Koisaan, KDCA pada 31 Mei.-SabahNewsKini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda