Hiburan

Unduk Ngadau Kaamatan 2020 tawarkan hadiah berjumlah RM150,000

image

KOTA KINABALU: Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan yang diteruskan pada tahun ini bakal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM150,000.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata pertandingan Unduk Ngadau kali ini akan dibuat dengan sedikit kelainan disebabkan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Mengumumkan perkara itu hari ini, beliau berkata pertandingan dibuka kepada seluruh warga Sabah termasuk yang berada di semenanjung dengan menghantar video rakaman mereka ke Facebook Page rasmi pertandingan iaitu Unduk Ngadau 2020 bermula esok.

“Disebabkan pemilihan wakil-wakil daerah tidak dapat dilaksanakan, kita membuat keputusan untuk membuka penyertaan kepada seluruh warga Sabah yang memenuhi syarat-syarat pertandingan,” katanya.

Tarikh tutup untuk menghantar penyertaan adalah pada 29 Mei.

Seperti pertandingan Sugandoi, pemilihan awal untuk mencari Top Seven (tujuh peserta terbaik) akan dibuat melalui undian online.

Peter berkata peserta Top Seven ini akan berentap dalam pertandingan akhir pada 31 Mei nanti di Hongkod Koisaan, KDCA Penampang.

“Pertandingan akhir ini akan diadili oleh para juri profesional,” katanya.

Beliau menekankan bahawa orang ramai tidak akan dibenarkan hadir ke dewan semasa pertandingan akhir kelak.

Namun mereka boleh menyaksikannya secara online, katanya sambil menambah SOP kerajaan negeri bagi kehadiran dalam satu-satu dewan tidak harus melebihi 50 orang.

“Kita akan pastikan kurang daripada 50 orang berada dalam dewan semasa pertandingan akhir nanti,” katanya.

Mengenai pemahkotaan johan Unduk Ngadau, Peter berkata ianya akan ditentukan kelak.

Maklumat lebih lanjut termasuk syarat-syarat dan juga garis panduan menghantar penyertaan akan dipaparkan dalam Facebook Page rasmi Unduk Ngadau 2020, katanya.

Antara syarat-syarat penyertaan mestilah berumur 18 tahun keatas dan bujang.

Hadiah bagi johan ialah wang tunai RM18,000 manakala RM13,000 untuk naib johan, RM10,000 bagi pemenang tempat ketiga, RM7,000 (keempat), RM5,000 (kelima), RM4,000 (keenam) dan RM3,000 (ketujuh).

Sementara itu tempat kelapan hingga ke-20 masing-masing akan mendapat RM2,000 dan RM1,500 setiap seorang bagi yang menduduki tempat ke-21 sehingga 65.-Sabah News Kini

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda