Jenayah

BAKAKUK PELURU DALAM BOT DITEMUI

image

BELURAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemui senapang buatan sendiri atau bakakuk bersama tiga butir peluru ditemui dalam sebuah bot di perairan Sungai Beluran, di sini, semalam.

Ia ditemui selepas pasukan penguatkuasa yang melaksanakan rondaan di kawasan itu mengejar sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan dari arah laut ke Pekan Beluran dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Zainudin Mohd Zuki, berkata sebaik menyedari kehadiran penguatkuasa, bot terbabit dikatakan memecut laju ke arah kawasan hutan nipah dan pemilik bot melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot yang tidak mempunyai nombor pendaftaran itu mendapati selaras senapang dan peluru yang disimpan dalam beg dan disembunyikan di bawah kayu bot.

“Bot dan senjata kemudian dibawa ke Jeti Pos Maritim Beluran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

“Kita ingatkan komuniti maritim agar sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut,” katanya.

Zainudin berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda