Berita Semasa

SILA PATUHI SOP SEPANJANG SAMBUTAN AIDILFITRI : KM

image

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara sepanjang sambutan Aidilfitri bagi memastikan diri dan keluarga masing-masing terhindar daripada jangkitan Covid-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata SOP yang ditetapkan kerajaan bukanlah bertujuan menyekat atau tidak memberi kebebasan kepada semua masyarakat apatah lagi sewaktu musim perayaan, namun menyedari ancaman wabak ketika ini, maka langkah pencegahan perlu diambil demi keselamatan dan kesihatan bersama.

“Antara langkah diambil ketika musim perayaan termasuk mengehadkan bilangan ahli keluarga dalam sebuah rumah, larangan kunjung-mengunjung dan balik kampung. Ini adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelak wabak ini daripada terus berjangkit.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sama ada di pihak kerajaan mahupun rakyat untuk memainkan peranan masing-masing bagi bersama-sama mengawal penularan Covid-19,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2020, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, sambutan Aidilfitri pada tahun ini agak berbeza susulan ia diraikan dalam keadaan negara berhadapan pandemik, dan wabak ini bukan hanya melumpuhkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menjejaskan kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam membendung wabak ini daripada terus merebak.

“Saya juga ingin memohon kemaafan sekiranya langkah-langkah yang kita laksanakan telah sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan rakyat di Sabah. Semua ini dilakukan dengan niat dan tujuan baik (iaitu) bagi menghindari Covid-19 sekali gus menyelamatkan nyawa manusia di negeri ini,” katanya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda