Jenayah

KASTAM MERAMPAS ROKOK SELUDUP RM1.65 JUTA

image

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 110,720 karton rokok seludup bernilai RM1.65 juta menerusi empat rampasan dalam Op Supply Raya di sekitar daerah ini.

Rampasan pertama membabitkan rokok bernilai RM71, 944 dengan jumlah cukai kira-kira RM250, 000 di kawasan pesisir pantai Batu 3, Jalan Apas pada 9 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar, berkata ia disusuli rampasan rokok bernilai RM242,900 dengan jumlah cukai lebih RM800,000 di sebuah rumah di Kampung Sri Aman 3, Jalan Apas pada 15 Mei.

Katanya, serbuan ke atas rumah itu menemui pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai.

“Pada hari yang sama, JKDM Tawau yang melakukan rondaan turut menemui beberapa bungkusan dalam keadaan mencurigakan di bawah jejantas di kawasan Taman Sawit, Balung, Jalan Apas.


Pemeriksaan lanjut mendapati ia berisi pelbagai jenis rokok dipercayai hasil seludup dianggarkan bernilai RM12,520 dengan nilai cukai RM47,056,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdullah berkata, JKDM Tawau turut membuat serbuan di pesisir pantai Batu 3, pada 19 Mei lalu dan merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM36,000 dengan kadar cukai lebih RM100,000.

Katanya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda