Kesihatan

MALAYSIA CATAT 78 KES BAHARU, SATU KEMATIAN : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Kes Covid-19 di Malaysia bertambah 78 kes lagi, menjadikan jumlah keseluruhan yang dicatatkan setakat ini sebanyak 7,137 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang mediannya di Putrajaya, hari ini, turut memaklumkan seramai 63 lagi pesakit sembuh sepenuhnya, menjadikan jumlah keseluruhan yang pulih dari jangkitan wabak itu ialah 5,859.

Ini menjadikan jumlah kes aktif Covid-19 sekarang adalah 1,163 kes.

Noor Hisham berkata, daripada 78 kes baharu yang dilaporkan, 25 kes terdiri daripada kes import dari luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 40 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata seramai sembilan pesakit Covid-19 di negara ini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau turut memaklumkan satu lagi kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini dengan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia setakat ini ialah sebanyak 115 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-115 (kes ke-3616) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 65 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang,” katanya.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda