Berita Semasa

KAKITANGAN HOSPITAL TUARAN DIKUARANTIN BUKANLAH SATU ISU BESAR

image

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi mengingatkan orang ramai supaya tidak memperbesarkan isu kakitangan Hospital Tuaran yang dikuarantin kerana ia hanya akan mengundang panik di kalangan masyarakat setempat.

Katanya, semua kakitangan yang terbabit dalam pengurusan pesakit telah menjalani ujian saringan dan perlu dikuarantin kerana ia adalah prosedur dilakukan apabila berlaku kontak dengan pesakit yang didapati positif Covid-19.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berharap isu ini tidak diperbesarkan atau ditokok tambah sehingga menyebabkan keadaan panik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular di media sosial berkaitan kes petugas kesihatan di Hospital Tuaran yang diarahkan menjalani kuarantin.

Isu berkenaan bermula apabila satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Tuaran pada 19 Mei dan pesakit telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Tuaran, sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH).

Berikutan itu, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP), Hospital Tuaran telah menjalankan aktiviti disinfeksi di lokasi yang telah dikenalpasti dalam hospital.

Semalam, satu mesej turut tular di aplikasi Whatsapp yang mengatakan 22 orang kakitangan Hospital Tuaran dibawa ke QEH untuk dikuarantin dan didakwa Tuaran serta Tenghilan perlu ‘lock down’ semula kerana akan dikategorikan sebagai zon merah.

Mesej yang tular itu turut mendakwa keadaan itu berpunca daripada seorang warga emas yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran dan mempunyai gejala muntah, cirit-birit dan tiada selera makan.

Warga emas itu juga dikatakan disahkan positif Covid-19 dan ramai petugas yang telah memegangnya dan difahamkan juga, jangkitan ini berpunca daripada anaknya yang dikatakan baru balik dari luar negara.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda