Berita Semasa

PPM AKAN TINGKATKAN OPERASI DALAM OP BENTENG SEPANJANG AIDILFITRI

image

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) bersama agensi keselamatan yang lain akan terus meningkatkan operasi dalam Op Benteng Covid-19 sepanjang Aidilfitri ini bagi mengekang ancaman kemasukan wabak Covid-19 ke negara ini.

Komander PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Mohd Yusoff Mamat berkata, ini termasuk pengagihan atur gerak seramai 482 pegawai dan anggota PPM di seluruh wilayah ini.

Katanya, PPM turut meletakkan sebanyak 42 kapal dan bot bagi melancarkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di perairan Sabah.

“Untuk hari raya ini, kita akan meningkatkan lagi operasi-operasi di sepanjang perairan sebelum dan selepas (Aidilfitri) bagi membendung isu kemasukan ancaman dari segi kemasukan wabak Covid-19 ini.

“Tujuan Op Benteng ini juga untuk mengekang masalah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran. Kalau di Sabah ini, mengekang kemasukan PATI dari Filipina dan Indonesia,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander PPM Wilayah 4 Sabah, di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Pada majlis berkenaan menyaksikan Asisten Komisioner Ahmad Ariffin dilantik menjadi Komander PPM Wilayah 4 Sabah bagi menggantikan Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Ahmad yang sebelum ini menjawat Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu pula menyerahkan jawatannya kepada Superintendan Gan Ping Sin.

Op Benteng Covid yang dilancarkan sejak 12 Mei lalu itu adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengekang masalah kemasukan PATI dari negara jiran.

Mohd Yusoff berkata, bagi wilayah 4 Sabah, setakat ini PPM mengerakkan sebanyak 22 bit ronda membabitkan 150 pegawai dan anggota untuk penugasan Op Covid-19.

Bagaimanapun katanya, jumlah bot peronda dan pegawai serta anggota selepas Aidilfitri akan ditingkatkan kerana ia adalah kemuncak PATI balik ke negeri ini untuk mencari pendapatan.

“Kita perlu memastikan kawalan ketat di jalan-jalan tikus yang akan menjadi laluan kumpulan PTI. Kita risau sekiranya masuk secara haram, mereka membawa wabak Covid-19 dan mungkin akan jadi kluster baru sekiranya tanpa kawalan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, sepanjang Op Covid-19 dilancarkan sejak 18 Mac lalu, PPM berjaya menghasilkan keseluruhan 82 kes dalam pelbagai kesalahan termasuk Akta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Katanya, seramai 81 orang juga sudah dituduh mengikut pelbagai akta membabitkan nilai rampasan 10.68 juta sepanjang operasi itu.

“Dari segi keseluruhan pula sejak Januari sehingga semalam, kita berjaya menghasilkan sebanyak 470 kes dengan nilai rampasan dan kompaun mencecah RM12.98 juta.

“Kesalahan ini termasuk kes penyeludupan rokok dan minuman keras. Bagi pemeriksaan kesihatan pendatang tanpa asing pula, PPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan kerana kita tidak mempunyai ada peralatan,” katanya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda