Berita Semasa

Seramai 169 individu dikuarantin dipindahkan di hotel

image

SEMPORNA: Seramai 169 individu yang dikuarantin di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bubul, di sini dipindahkan di beberapa buah hotel di daerah ini sejak kelmarin.

Difahamkan empat buah hotel dipilih untuk menempatkan individu terbabit termasuklah Hotel Seafest Boutique, Seafest Hotel, TD Mutiara dan Green World.

Menurut sumber, setakat ini, seramai 296 individu sudah ditempatkan di hotel terbabit kerana daerah ini menerima lebih 100 individu yang tiba dari Semenanjung dan Kota Kinabalu semalam termasuk penuntut universiti.

Pegawai Daerah Semporna Benedict Asmat dihubungi Utusan Borneo mengesahkan bahawa individu dikuarantin di daerah itu dipindahkan di Hotel Seafest Boutique dan Seafest Hotel.

"Setakat ini hanya dua hotel itu sahaja yang digunakan untuk menempatkan mereka, manakala dua hotel yang lain pula kita hanya buat persediaan dan sekiranya keadaan mendesak, hotel itu sudah bersiap sedia," katanya.

Terdahulu, sebelum ini individu yang dikuarantin ditempatkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Bubul, di sini, namun kondisi tempat itu kurang memuaskan.

Benedict juga tidak menafikan Pusat Kuarantin PPR Kampung Bubul Semporna kurang memuaskan dan memohon individu terbabit bersabar dan pihaknya akan buat sebaik yang terdaya.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda