Kesihatan

PUSAT KUARANTIN BUKAN MACAM RUMAH SENDIRI : CHRISTINA

image

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengingatkan orang ramai bahawa pusat kuarantin yang ada di seluruh negeri bukanlah dibina khas dan tidak harus disamakan dengan rumah sendiri atau hotel.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kebanyakan pusat kuarantin merupakan asrama sekolah, tempat tinggal guru pelatih, rumah rehat kerajaan atau rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Tempat-tempat berkenaan merupakan kediaman orang sebelum dijadikan pusat kuarantin semasa wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan terdapat pelbagai aduan disebarkan menerusi media sosial mengenai keadaan pusat kuarantin di negeri ini.

Jelas beliau, semua pihak yang terbabit dalam pengurusan di pusat kuarantin telah mengambil maklum mengenai aduan-aduan tersebut dan berusaha membuat penambahbaikan.

Christina berkata, wabak Covid-19 adalah suatu krisis yang tidak diduga dan berharap agar semua individu dalam siasatan (PUI) yang ditempatkan di pusat kuarantin dapat melihat gambaran yang lebih besar dan sentiasa berfikiran positif.

Tambahnya, setakat semalam, seramai 2,788 PUI sedang menjalani kuarantin di 44 buah pusat kuarantin di seluruh negeri Sabah dan seramai 8,032 orang sedang menjalani perintah kuarantin di rumah. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda