Berita Semasa

SEORANG JURURAWAT MAUT KEMALANGAN

image

BEAUFORT: Perjalanan pulang seorang jururawat berakhir tragedi apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 28, Jalan Beaufort – Menumbok, Kampung Nukahan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa Siti Zaharah Jeris @ Idris, 34 yang bertugas di Klinik Kesihatan Kerukan, Kuala Penyu, meninggal dunia akibat parah dibahagian dalam badan.

Difahamkan, mangsa baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kerukan, Kuala Penyu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan arah Beaufort menuju ke Kuala Penyu.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong dua kenderaan di hadapan tetapi gagal lalu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai berubatan Hospital Kuala Penyu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, pemandu Toyota Hilux lelaki berusia 52 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan masih diteruskan dan setakat ini tiada unsur-unsur khianat atau jenayah yang ditemui dalam kejadian itu.

“Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –http://beritaorangsabah

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda