Berita Semasa

PENJUAL IKAN KAWASAN KOMPLEKS SAFMA DIHENTIKAN

image
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk menghentikan semua aktiviti menjaja ikan di kawasan Kompleks Perikanan Lembaga Pemasaran Ikan Sabah (Safma) berkuatkuasa serta merta hari ini sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kesesakan yang berlaku di Kompleks Perikanan SAFMA setiap hari. “Oleh itu, kerajaan negeri memutuskan bahawa Kompleks Perikanan ini hanya digunakan untuk tujuan pemunggahan ikan dan jualan borong sahaja. “Semua aktiviti menjaja ikan di kawasan kompleks tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP. Keputusan ini dikuatkuasakan serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. Pada masa yang sama, Safar meminta Pihak Berkuatkuasa Tempatan, polis dan agensi yang bertanggungjawab membuat pemantauan dan menguatkuasakan jarak sosial pelanggan yang berbaris di luar premis bank sejak semalam. “Adalah diperhatikan bahawa berlaku kesesakan di bandar atau di serata negeri sejak ini sejak semalam terutama di cawangan-cawangan bank. “Oleh itu saya minta orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan jarak sosial ketika berurusan di bank, sama ada ketika berbaris sebelum memasuki bank atau ketika berada di dalam bank. “Orang ramai adalah dinasihatkan untuk tidak berpusu-pusu datang ke cawangan bank dan pihak bank juga disarankan untuk menghadkan bilangan pelanggan berurusan pada satu-satu masa,”tambahnya./BERITA SABAH
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda