Berita Semasa

Pemandu Produa Myvi lawan arus rempuh dua motosikal serah diri

image

SEBERANG PERAI: Pemandu Myvi yang memandu melawan arus dan merempuh dua penunggang motosikal di susur Jambatan Pulau Pinang pada 15 Mei lalu telah ditahan selepas dia menyerah diri semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di Balai Polis Trafik Bukit Mertajam pada pukul 5 petang Sabtu.

Menurut Shafee, pemandu yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu mendakwa, dia memandu melawan arus kerana menyangka laluan tersebut adalah jalan dua hala.

Pemandu berkenaan juga, tegas Shafee, mendakwa dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol semasa kemalangan tersebut.

Shafee berkata, ujian saringan air kencing dan alkohol yang dilakukan terhadap lelaki itu mendapati dia bebas daripada bahan terlarang.

Lelaki berkenaan kini direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kemalangan maut tersebut.

Pada Jumaat, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus dalam kejadian di susur masuk Jambatan Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 10.35 pagi itu, kereta jenis Produa Myvi yang dipandu individu tidak dikenali dikatakan merempuh dua buah motosikal di laluan berkenaan.

Akibat kejadian itu, salah seorang penunggang motosikal yang dikenali Muhamad Hafiz Bakri, 31 meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa, Lim Kar Tian, 34 mengalami patah kaki kiri.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda