Berita Semasa

Jangan jadikan Anda penyebab anak anda dijangkiti virus COVID-19

image

KUALA LUMPUR: Sejak kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lepas, ramai dalam kalangan ibu bapa dilihat mula mengambil kesempatan membawa anak-anak keluar membeli-belah terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ibarat burung yang terlepas dari sangkar, masing-masing bagai tidak menghiraukan akan bahaya 'musuh senyap' yang menanti di luar rumah, apabila tegar mempertaruhkan nyawa anak mereka semata-mata untuk mendapatkan barangan keperluan hari raya termasuk baju baharu.

Apabila ditanya alasan yang diberikan cukup mudah, takut baju yang dibeli tidak padan saiznya dan tiada orang menjaga anak di rumah, sedangkan jika mata kasar dapat melihat bagaimana rakusnya virus itu sedia menerkam ke arah mangsa yang leka, pasti orang dewasa sendiri pun tidak berani untuk keluar dari rumah.

Hampir saban hari rasanya Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menasihati orang ramai bahawa selain warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik, kanak-kanak juga merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti oleh virus itu.
Walaupun setakat ini tiada kes kematian positif COVID-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, namun sehingga semalam Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 317 kes positif virus itu adalah dalam kalangan kumpulan umur berkenaan.

Dr Noor Hisham memaklumkan daripada jumlah itu, 112 kes atau 35 peratus dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes membabitkan bayi berusia kurang setahun!

Sehubungan itu, dalam hal ini hanya ibu bapa yang mampu menjadi benteng pertahanan untuk mengelak anak mereka daripada menjadi mangsa serangan virus yang telah meragut seramai 113 nyawa di negara setakat ini.

Kesedaran dalam kalangan ibu bapa dalam hal ini amat dituntut selain perlu memainkan peranan memberi didikan kepada anak-anak supaya mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

Seperti kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, walaupun tiada sekatan untuk ibu bapa membawa anak-anak ke pusat beli-belah mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ketika PKPB, namun adalah menjadi tanggungjawab keluarga untuk tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya itu.

Jangan disebabkan hanya hendak menggembirakan anak-anak dengan membeli baju raya, ibu bapa pula meraung di pagi raya apabila anak-anak terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat terkena 'kluster pusat beli-belah' dek kecuaian sendiri.

-- BERNAMA
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda