Kesihatan

317 kanak-kanak bawah 12 tahun dijangkiti Covid-19 di Malaysia

image
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 317 kes positif Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 112 kes atau 35 peratus adalah dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes membabitkan bayi berusia kurang setahun.

"Setakat ini tiada kes kematian positif Covid-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak (berusia) bawah 12 tahun," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, Selangor mencatatkan bilangan kes positif Covid-19 tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes, diikuti Negeri Sembilan (48), Johor (46), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28), serta Sabah (26).

Katanya, kanak-kanak dan bayi memerlukan ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua untuk melindungi mereka daripada bahaya jangkitan Covid-19.

"Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, serta sangat digalakkan memakai pelitup muka di kawasan umum," katanya.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda