Jenayah

Ejen Penjual minuman keras maut minum arak di hotel

image
KOTA KINABALU: Seorang ejen minuman keras maut selepas menikmati minuman keras di sebuah bilik hotel bersama rakannya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata mangsa berumur 35 tahun itu bersama lima lagi rakannya menyewa bilik di sebuah hotel di sini sejak Rabu lalu.

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka menjalankan perbincangan berkenaan perniagaan dan mangsa sempat keluar bekerja seperti biasa pada pagi Khamis.

“Mangsa kemudiannya kembali lagi ke bilik hotel berkenaan sebelum mereka memulakan sesi meminum arak bermula 6 petang sehingga 3 pagi Jumaat,” katanya.

Menurutnya mangsa yang sepatutnya menghantar rakannya balik sudah tertidur menyebabkan kesemua rakannya terpaksa meminta bantuan dari rakan lain untuk pulang ke rumah.

“Mangsa bagaimanapun ditemukan sudah tidak sedarkan diri oleh penjaga unit yang diarahkan untuk mengejutkan mangsa kira-kira jam 5 pagi.

“Petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebaik pihak pengurusan hotel membuat laporan polis berkenaan kejadian,” katanya.

Habibi berkata tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan di lokasi kejadian dan mayat mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Tambahnya kes diklasifikasikan sebagai Kes Mati Mengejut (SDR).
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda