Jenayah

SATU PELAJAR RUGI RM11,450 ANGKARA MACAU SCAM

image

LABUAN: Seorang pelajar wanita di sebuah universiti tempatan, di sini, ‘berputih mata’ apabila kerugian RM11,450 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis dan pegawai mahkamah.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa berusia 21 tahun dikatakan menerima panggilan telefon daripada dua lelaki yang tidak dikenali mengaku dari Mahkamah Labuan dan pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, pada 8 Mei lalu.

“Suspek mengatakan ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk membuka akaun.

“Suspek turut mengatakan akaun berkenaan terbabit dengan jenayah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad berkata, bagi membersihkan nama mangsa daripada jenayah itu, suspek meminta mangsa untuk mendedahkan butiran akaun beserta dengan nombor pin bagi tujuan siasatan.

“Selepas maklumat akaun diberikan, mangsa mendapati wang berjumlah RM11,450 dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

“Mangsa berasa diperdaya kemudian datang ke Balai Polis Labuan bagi membuat laporan untuk polis menjalankan siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, Muhamad menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila mendapat panggilan yang memperkenalkan diri mereka sebagai polis dan pegawai dari mahkamah.

“Polis dan pihak mahkamah tidak akan membuat panggilan bagi tujuan untuk membersihkan nama daripada sebarang kesalahan jenayah.

“Sebaliknya polis akan melaksanakan Prosuder Operasi Standard (SOP) yang biasa seperti menjejaki suspek ke rumah dan melaksanakan tangkapan bagi mana-mana kesalahan jenayah yang dilakukan dan bukannya meminta suspek memindahkan wang ke akaun tertentu bagi menutup kesalahan jenayah,” katanya. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda