Jenayah

SUAMI ISTERI DAN IPAR DITAHAN MILIKI GANJA

image

LABUAN: Tiga individu termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis ganja seberat 1,262 gram dalam serbuan di sebuah rumah flat di Jalan Bebuloh, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan polis yang diketuai seorang pegawai dan enam anggota menemui ganja yang disembunyikan di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, ketika serbuan, pemeriksaan di bilik tidur pasangan suami isteri terbabit berjaya menemui satu ketulan mampat daun-daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar disyaki dadah jenis Cannabis.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya dilakukan di bilik tidur kedua yang dihuni ipar kepada suspek utama dan menahan wanita terbabit untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek lelaki didapati positif dadah jenis ganja manakala kedua-dua suspek wanita pula bebas dari sebarang pengaruh dadah.

“Jumlah dadah yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM7,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Muhamad Farid berkata, modus operandi suspek mendapatkan bekalan dengan menggunakan perkhidmatan pos laju dari Kuala Lumpur yang terus dihantar ke rumah suspek.

“Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 20-an akan dirujuk ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori,” katanya. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda