Jenayah

24 LAPORAN PENIPUAN PEMBELIAN PENUTUP HIDUNG DAN MULUT, DAN CECAIR BASMI KUMAN

image

KOTA KINABALU: Polis sejak Februari lalu menerima sebanyak 24 laporan berkaitan penipuan pembelian penutup hidung dan mulut serta cecair basmi kuman dengan kerugian RM147,329.74.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kes dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Berdasarkan laporan yang diterima daripada mangsa, mangsa yang terbabit menyatakan terlihat iklan jualan alat berkenaan menerusi media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Selepas menghubungi iklan berkenaan, mangsa diarahkan membuat pembayaran kepada akaun yang diberikan. Namun selepas bayaran dibuat, nombor individu terbabit terus gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, semua barangan yang ditempah juga tidak akan sampai kepada mangsa yang sudah membuat pembayaran.

“Setakat ini, nilai kerugian yang dicatatkan adalah sebanyak RM147,329.74.

“Semua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata, setakat ini pihaknya sudah berjaya menahan lapan individu pemilik akaun dan menuduh semua mereka di mahkamah.

Namun katanya, sejak kebelakangan ini, wujud pelbagai lagi sindiket penipuan untuk memperdayakan mangsa seperti Macau Scam, peraduan Boost, pinjaman, pembelian atas talian dan sebagainya.

“Justeru itu, polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berurusan menerusi media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Polis juga sudah menggunakan pelbagai platform untuk memberi kesedaran mengenai penipuan bagi mengelakkan orang ramai ditipu atau diperdaya sindiket,” katanya.

Tambah beliau lagi, orang ramai boleh membuat semakan pengesahan akaun menerusi laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk memastikan kesahihan sebelum berurusan.

“Selain itu, orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi talian 088-230 182 atau 088-529 220 untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda