Berita Semasa

Tiada Kebenaran Naikkan Kadar Tambang Bas, Kereta Sewa Di Sabah : PKPB

image

KOTA KINABALU: Kenderaan pengangkutan awam seperti bas, teksi dan kereta sewa tidak dibenarkan menaikkan kadar tambang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selagi tiada kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan.

Susulan itu, orang awam boleh mengemukakan aduan kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah jika mendapati ada pengusaha bas, teksi atau kereta sewa yang menaikkan kadar tambang.

Pengarah LPKP Sabah, Arfian Julian berkata, setakat ini belum ada kebenaran diberikan untuk pengendali pengangkutan awam menaikkan kadar tambang di Sabah.

Katanya, sebarang kenaikan kadar tambang perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan. Kementerian yang bertanggungjawab menetapkan berapa kenaikan kadar tambang yang dibenarkan.

Beliau berkata, memang terdapat cadangan daripada pengendali pengangkutan awam untuk menaikkan kadar tambang kerana pendapatan mereka terjejas disebabkan hanya dibenarkan membawa 50 peratus sahaja bilangan penumpang.

“Kita akan bawa perkara ini untuk perhatian Kementerian Pengangkutan pada minggu hadapan. Pihak kementerian akan memutuskan untuk membenarkan mahupun tidak cadangan menaikkan kadar tambang ini.

“Namun, selagi tiada kebenaran diberikan untuk menaikkan kadar tambang, pengendali pengangkutan awam tidak boleh menaikkan tambang,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, jika masih ada pengendali pengangkutan awam yang menaikkan kadar tambang, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 334 Akta LPKP 1987.

Katanya, kebenaran beroperasi dengan bilangan penumpang 50 peratus daripada kapasiti penumpang sebenar itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sejak operasi pengangkutan awam dibuka pada 11 Mei lalu.

Orang awam boleh mengemukakan aduan mengenai kenaikan kadar tambang bas, teksi dan kereta sewa melalui akaun Facebook LPKP Sabah mahupun email kepada aduan@lpkp.gov.my.

“Kami amat mengalu-alukan aduan daripada orang awam supaya pihak kami tahu apa yang berlaku di peringkat bawahan.

“Dengan adanya aduan orang awam, ia akan memudahkan pihak kami untuk mengambil tindakan sewajarnya mengikut Akta LPKP,” jelasnya.

Setakat ini, terdapat kira-kira 4,000 pengangkutan awam yang berdaftar di bawah LPKP Sabah.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda