Kesihatan

MALAYSIA CATAT 88 KES SEMBUH HARI INI, TIADA KEMATIAN DILAPORKAN : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Seramai 88 lagi pesakit Covid-19 di Malaysia telah sembuh dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini ialah sebanyak 5,439.

Jumlah kes sembuh berkenaan adalah 79.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes iaitu sebanyak 6,855 selepas 36 lagi kes baharu dicatatkan di negara ini, hari ini.

Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata daripada jumlah kes harian berkenaan, 28 kes membabitkan warga asing.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia ketika ini adalah 1,304 kes,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pesakit yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah seramai 14 orang, dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, tiada kes kematian baru membabitkan pesakit Covid-19 setakat pukul 12 tengah hari ini dengan jumlah korban kekal 112, iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata KKM setakat ini telah menjalani ujian saringan Covid-19 terhadap 424,306 orang, dengan kadar positif sebanyak 1.62 peratus.

“(Bermakna) bilangan individu yang disaring adalah sebanyak 13 orang bagi setiap 1,000 orang.

“Ini menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang menjalankan ujian saringan Covid-19 yang paling banyak di kalangan negara Asean yang lain,” katanya. –http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda