Berita Semasa

Pemimpin Sabah Tetap setia sokong Shafie Apdal terajui negeri

image

KOTA KINABALU: Barisan pemimpin kerajaan di Sabah menempelak usaha 'pihak tertentu' yang menyebar khabar angin bahawa pentadbiran negeri akan bertukar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, khabar angin yang disebarkan di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar.

Jelas beliau, pihaknya kekal dengan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Tanpa menyatakan siapakah 'pihak tertentu' dimaksudkan, beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan Sabah turut menjelaskan pihaknya UPKO bersama-sama pemimpin Warisan dan Pakatan Harapan (PH) terus teguh mempertahankan Mohd Shafie.

"Kita tidak tahu siapa yang buat ini, tapi kita dapati dalam media sosial, dikeluarkan dalam media sosial jadi siapa yang buat ini memanglah ada pihak-pihak tertentu.

" Ada yang menyebarkan pelbagai penulisan dan sebagainya tetapi hari ini kita mahu tunjukkan kepimpinan kita adalah berdiri teguh di belakang kepimpinan Ketua Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Maggelan Sutera Harbour,  pada Jumaat.

Hadir sama dalam majlis itu adalah seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Warisan, UPKO dan PH.

Turut hadir adalah dua Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew.

Sementara itu, Madius turut mendedahkan, khabar angin tersebut menyebut pentadbiran di Sabah bakal berubah susulan senario semasa yang berlaku di beberapa negeri lain seperti Johor, Perak, Melaka dan terbaru di Kedah.

"Barisan pimpinan wakil rakyat negeri Sabah akan meneruskan perjuangan ini sebagai rakyat Sabah kita akan teruskan.

"Dan kita mintalah supaya rakyat jangan dengar apa-apa juga ada yang cuba memporak-porandakan kestabilan kerajaan negeri Sabah," katanya.

Untuk rekod, sidang media berkenaan sekaligus turut menyaksikan sokongan daripada parti-parti pemerintah melibatkan Madius selaku Presiden UPKO, Christina (Pengerusi PKR Sabah), Datuk Frankie Poon Ming (Pengerusi DAP Sabah) dan Naib Presiden Warisan, Jaujan dan Datuk Junz Wong.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda