Kesihatan

HANYA PENGSAN, BUKAN DISEBABKAN COVID19

image

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang diusung keluar daripada pusat beli belah Centre Point oleh petugas perubatan yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) hanya mengalami pengsan dan bukannya akibat Covid-91.

Video kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu turut menjadi tular di media sosial sehingga ada yang mendakwa kononnya mangsa adalah pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, kejadian sebenarnya hanyalah seorang lelaki berusia 40-an terjatuh sebelum pengsan di tingkat bawah berhampiran tandas awam bangunan berkenaan.

Tinjauan hantaran di media sosial turut mendapat pelbagai komen yang positif dan negatif.

Namun ada juga pihak yang memaklumkan keadaan petugas kesihatan mengenakan pakaian PPE sebenarnya adalah prosedur biasa ketika ini.

Menurut sumber, lelaki terbabit dipercayai mengalami gangguan kesihatan sehingga menyebabkannya pengsan ketika berjalan-jalan di pusat beli belah berkenaan.

“Sebaik menyedari mangsa terjatuh dan pengsan, orang ramai terus menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan segera.

“Ketika itu orang ramai tidak menyentuh lelaki terbabit bagi mencegah sebarang jangkitan wabak,” katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan Centre Point ketika dihubungi mengesahkan mangsa hanya pengsan dan sudah dirujuk ke hospital untuk tindakan selanjutnya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda