Sukan

ATLET SABAH BOLEH KEMBALI JALANI LATIHAN

image

KOTA KINABALU: Semua atlet negeri dan negara di Sabah kini sudah boleh merancang untuk memulakan sesi latihan mereka apabila Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) membenarkan penggunaan kemudahan di semua kompleks sukan di negeri ini, mulai 18 Mei depan.

Menterinya, Ginger Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, keputusan untuk membenarkan semula penggunaan kemudahan sukan berkenaan adalah selaras dengan pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 10 Mei berhubung beberapa sektor yang dibenarkan beroperasi.

katanya, antara kemudahan yang dibuka untuk para atlet tertakluk kepada kebenaran Majlis Sukan Sabah ialah trek sintetik, golf, tenis, boling padang, memanah, angkat berat, petanque, skuash, ping pong, karate (KATA) dan taekwondo.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa kemudahan sukan juga akan mula dibuka kepada orang awam dengan syarat ianya digunakan tidak lebih daripada 10 orang dalam satu-satu masa.

Antara kemudahan yang dibuka ialah joging trek di kompleks sukan seluruh Sabah kecuali kompleks sukan Likas, pusat golf driving range, senamrobik, senaman jasmani, dan asrama.

“Semua pengguna wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa berkaitan semasa menggunakan kemudahan sukan.

“Semua penggiat sukan juga diminta mengamalkan norma baharu dalam menjalankan aktiviti sukan dan ianya merangkumi langkah-langkah pencegahan seperti berikut mengamalkan penjarakkan sosial sekurang-sekurangnya 1 meter dan memakai penutup hidung dan mulut.

“Bagaimanapun semasa berjoging dan bersenam, tidak perlulah pakai topeng muka namun dinasihatkan supaya kerap membasuh tangan dengan sabun atau hand sanitizer,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan beberapa sukan yang tidak dibenarkan termasuk yang membabitkan perhimpunan penyokong, acara berkumpulan di luar melebihi 10 orang, Indoor Sport, acara di dalam kolam renang dan jenis-jenis sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, boxing, bola sepak dan bola keranjang.

“Asrama yang dijadikan sebagai Pusat Kuarantin Covid-19, akan ditutup sepanjang Pusat Kuarantin ini beroperasi.

“Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas yang dijadikan sebagai wad tambahan Hospital Queen Elizabeth untuk menempatkan pesakit positif tetapi tidak mempunyai gejala seperti demam dan sebagainya untuk makluman, dewan ini dikendali oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Trek joging bersebelahan Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas juga ditutup untuk mengelakka risiko jangkitan Covid-19 kepada pengguna,” katanya lagi.

Tambah beliau, mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh hubungi Majlis Sukan Sabah di nombor 088-538396/7/8.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda