Kesihatan

DUA LAGI KES BAHARU DI SABAH BABITKAN PELAJAR UMS : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Dua lagi kes positif Covid-19 baharu yang dicatatkan di negeri ini, semalam, adalah membabitkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, berkata kes itu dikesan menerusi saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan UMS.

“Dua pelajar berkenaan telah dimasukkan ke wad hospital untuk rawatan.

“Aktiviti kawalan dan pencegahan di UMS masih giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Dr Christina berkata, setakat ini, tiga pelajar dari universiti berkenaan disahkan positif Covid-19.

“Pelajar berkenaan antara ribuan penuntut institusi pengajian tinggi yang dibenarkan kembali ke kampung masing-masing menerusi inisiatif yang membabitkan pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata, bermula semalam semua yang memasuki negeri ini termasuk pelajar daripada Semenanjung diwajibkan menjalani kuarantin di tempat yang telah diwartakan.

“Ini ekoran daripada peningkatan kes di Sabah membabitkan kemasukan rakyat Sabah yang baru balik dari luar negeri dan masalah kepatuhan mereka kepada perintah kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

Pada 11 Mei lalu Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung.

Sementara itu, dua kes baharu membabitkan pelajar UMS semalam menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Sabah sebanyak 330 kes setakat ini.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda