Kesihatan

MALAYSIA CATAT 40 KES BAHARU, SATU KEMATIAN : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Sebanyak 40 kes Covid-19 baharu dicatatkan di Malaysia, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan setakat ini sebanyak 6,819.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya di Putrajaya, hari ini, berkata daripada jumlah kes baharu berkenaan, sebanyak 31 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan tiada sebarang kes import.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,819 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,356 kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Noor Hisham berkata, satu lagi kematian dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat jangkitan wabak itu kini sebanyak 112 kes.

“Kes kematian ke-112 (kes ke-6780) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 39 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit injap jantung, serta kemalangan pada awal tahun mengakibatkan beliau patah kedua-dua tulang utama di kaki dan sukar bergerak sendiri.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada 12 Mei jam 9.52 malam di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seramai 70 lagi pesakit Covid-19 telah pulih dan dibenarkan discaj, hari ini.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,351 kes atau 78.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda