Jenayah

PPM TAHAN DUA BOT TUNDA KERANA LANGGAR SYARAT SAH LESEN

image

KUDAT: Dua bot pukat tunda ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati melanggar syarat sah lesen dalam kejadian di barat laut, Tanjung Simpang Mengayau, di sini, kelmarin.

Kedua-dua bot ditahan anggota PPM Kudat ketika sedang melakukan penugasan Op Covid-19 di kawasan berkenaan.


Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata kejadian pertama apabila sepasukan PPM kudat, menahan sebuah bot pukat tunda kira-kira jam 9 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan itu menjalankan aktiviti menunda ikan di kawasan pantai barat dan tidak mengikut syarat seperti yang tercatat di lesen perikanan iaitu di kawasan operasi di pantai timur.

“Seorang juragan lelaki berusia 40 tahun berada di atas bot berkenaan. Jumlah rampasan ikan bernilai RM2,000 dan kompaun dikenakan sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tangkapan ikan dirampas selepas didapati melanggar syarat sah lesen.-Gambar SNT/Ihsan PPM

Mohammad Pajeri berkata tangkapan kedua bot pukat tunda dijalankan di lokasi sama jam 10.30 pagi hari yang sama.

“Bot itu turut melakukan kesalahan yang sama dan terdapat juragan berusia 36 tahun berada di atas bot berkenaan.

“Nilai rampasan dan kompaun pada tangkapan kedua sebanyak RM800,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua bot pukat tunda ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Kudat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen,” katanya. – SabahNewsToday

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda