Kesihatan

MALAYSIA CATAT 37 KES BAHARU, DUA KEMATIAN : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat 37 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan yang pernah direkodkan di negara ini, setakat ini, sebanyak 6,779.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 21 kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia dan terdapat empat kes import dan serta kes penularan tempatan.

Beliau turut berkata, seramai 58 lagi pesakit Covid-19 telah pulih dan discaj, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh ketika ini sebanyak 5,281 kes.

“Oleh itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,387 kes.

“Sehingga kini, seramai 16 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan dua lagi kematian akibat jangkitan wabak itu dicatatkan di Malaysia, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian setakat ini sebanyak 111.

“Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemui mati di Rompin, Pahang.

“Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenalpasti dan masih di dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan,” katanya.-http://beritasabah.com


Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda