Jenayah

INGKAR PERINTAH KUARANTIN, TIGA PELAJAR BERDEPAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG

image

TAWAU: Tiga pelajar universiti di sini bakal diambil tindakan undang-undang kerana dipercayai ingkar terhadap arahan kuarantin di rumah.

Tiga pelajar terbabit pulang ke daerah ini dengan menaiki pesawat komersial antara 1 hingga 4 Mei sebelum diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

Pegawai Kesihatan Kawasan II Tawau, Dr Suzalinna Sulaiman, berkata bagaimanapun pihaknya menerima aduan awam bahawa tiga pelajar terbabit yang keluar rumah termasuk melepak bersama rakan sekampung.

Katanya, semua pelajar itu sudah ditahan untuk tindakan lanjut dengan seorang daripadanya ditempatkan di Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, manakala dua lagi diarahkan menjalani kuarantin di rumah
memandangkan baki tempoh kuarantin hanya tinggal beberapa hari.

“Kami sudah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas tiga pelajar ini kerana tindakan mereka merisikokan keselamatan awam.

“Kita ucapkan terima kasih kepada orang ramai yang membuat aduan,” katanya.

Sementara itu, semua 396 penumpang pesawat komersial AK5742 dan AK5740 ke Tawau pada 1 dan 4 Mei lalu diarahkan segera menjalani ujian saringan kedua di pejabat kesihatan berhampiran.

Dr Suzalinna berkata, keputusan itu diambil selepas enam penumpang pesawat iaitu empat penumpang dari pesawat AK5742, manakala dua penumpang dari pesawat AK5740 disahkan positif Covid-19.

“Semua penumpang terbabit menjalani kuarantin di kediaman masing-masing sekitar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak selepas ujian saringan pertama,” katanya lagi.-

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda