Berita Semasa

Hanya nama dan nombor telefon pengguna diperlukan sebagai syarat memasuki mana-mana premis

image
PUTRAJAYA: Hanya nama dan nombor telefon sahaja perlu dicatatkan pelanggan ketika memasuki premis perniagaan, sebagaimana yang dilaksanakan aplikasi Gerak Malaysia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memahami kebimbangan dan rungutan orang ramai apabila sesetengah pasar raya meminta nombor pengenalan dan alamat rumah pelanggan, sebelum dibenarkan melakukan urusan pembelian.

"Kita perlukan rekod pengunjung bagi memastikan sekiranya ada jangkitan COVID-19, pengesanan dapat dilakukan, bagaimanapun saya faham ada antara mereka tidak mahu letakkan alamat rumah dan nombor kad pengenalan, kerana bimbang soal keselamatan," katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Beliau berkata, nama dan nombor telefon pelanggan sudah mencukupi untuk pihak berkuasa mengesan para pelanggan, sekiranya terjadi jangkitan COVID-19 di sesuatu kawasan premis perniagaan.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, perkhidmatan gunting rambut masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tidak kira ia dilakukan di rumah, pejabat atau kedai gunting, semuanya sama iaitu tidak boleh dilakukan," katanya bagi mengulas laporan yang mendakwa terdapat orang kenamaan mendapatkan khidmat gunting rambut di rumah.

Beliau berkata penamatan PKPB tertakluk pada pematuhan rakyat dan jika tahap pematuhan terhadap PKPB rendah, tidak mustahil PKP diperkenalkan semula dan pergerakan rakyat kembali terbatas. 

Ismail Sabri berkata beliau sendiri menerima gambar yang tular menunjukkan rakyat Malaysia berpusu-pusu di tempat tumpuan ramai tanpa menjaga jarak sosial. 

"Semalam saya terima gambar kesesakan orang membeli makanan di Kampung Pandan, saya ingatkan ianya fake (palsu), tetapi bila saya tanyakan Ketua Polis Negara, ternyata ia benar berlaku, ternyata masih ramai rakyat yang ingkar untuk mematuhi SOP PKPB," katanya. 

Tegas beliau, undang-undang di bawah Akta 342 masih berkuat kuasa dan kelonggaran yang diberi adalah bagi memastikan rakyat mematuhi SOP. 

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi laporan operasi pematuhan dengan sebanyak 53,250 pemeriksaan telah dijalankan semalam. 

"Sebanyak 4,229 pasar raya, 3,795 restoran dan 1,473 kilang serta 2,833 bank telah diperiksa," katanya.  - Bernama 
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda