Jenayah

LELAKI TERBABIT 10 KES PECAH RUMAH BERJAYA DIBERKAS

image

KUDAT: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah selepas tertangkapnya seorang lelaki kurang 24 jam selepas dia melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah ini, Ahad lalu.

Hasil kecekapan siasatan pasukan polis, suspek seorang penganggur berusia 23 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah rumah di pekan daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata, berdasarkan laporan kejadian pecah rumah sehari sebelum tangkapan, suspek didakwa memecah masuk sebuah rumah dan mencuri dompet berisi kad pengenalan, pelbagai kad ATM dan wang tunai.

Bagaimanapun katanya, kegiatan suspek itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa yang menunjukkan muka suspek dengan jelas.

“Ketika ditahan, polis berjaya menemui semula dompet berisi kad pengenalan dan kad ATM milik mangsa.

“Hasil soalsiasat, suspek mengaku melakukan jenayah di rumah mangsa yang membuat laporan polis beberapa jam sebelum itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Firdaus berkata, setakat ini, polis percaya suspek terbabit sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar pekan Kudat.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati positif dadah jenis syabu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.-http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda