Berita Semasa

TUNAI SOLAT SUNAT AIDILFITRI DI KEDIAMAN ANDA MASING-MASING

image

KOTA KINABALU: Penangguhan aktiviti dan surau di Sabah dilanjutkan lagi sehingga 26 Mei depan dan ini bermakna orang ramai tidak dibenarkan ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri yang jatuh sama ada ada 23 atau 24 Mei depan.

Pelanjutan itu diumumkan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira asas-asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan serta kebaikan umat Islam.

“Keputusan ini akan membabitkan penangguhan solat jumaat pada 15 dan 22 Mei. Ahli Qaryah wajib menunaikan solat fardu zuhur pada hari jumaat tersebut dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh berkenaan.

“Keputusan ini juga membabitkan sunat hari raya Aidilfitri sama ada jatuh pada 23 atau 24 Mei tertakluk kepada keputusan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Ahli Qaryah disunatkan menunaikan solat hari raya di rumah atau kediaman masing-masing. Kenyataan mengenai garis panduan hari raya akan dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Sabah dalam waktu terdekat,” katanya.

Bungsu berkata, umat Islam juga hendaklah merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu ‘Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya’ serta garis panduan lain yang dikeluarkan pihak berwajib.

“Umat Islam perlu sentiasa mengambil langkah keselamatan dan garis panduan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tempoh pelanjutan atau sebaliknya akan mengambil kira nasihat Kerajaan Sabah dan KKM. Saya mengharapkan agar umat Islam di negeri ini dapat melaksanakan ibadah puasa dan amal ibadah yang lain dalam bulan Ramadan tahun ini dengan sebaiknya.

“Semoga amal ibadah yang dilaksanakan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT,” katanya. – http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda