Jenayah

SEORANG LELAKI ALAMI GANGGUAN MENTAL DITEMUI MATI JATUH DARI BANGUNAN

image

TUARAN: Seorang lelaki yang disyaki mengalami gangguan mental ditemui mati selepas dipercayai terjatuh daripada tingkat empat bangunan perumahan Taman Telipok Ria, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 30-an itu ditemui berlumuran darah di parkir kawasan perumahan itu oleh penduduk sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian selepas itu.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk sekitar yang melihat mangsa selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas.

Katanya, hasil soal siasat terhadap bapa mangsa mendapati, si mati adalah pesakit mental yang baharu dibenarkan keluar dari Hospital Mesra Bukit Padang, April lalu.

“Mangsa dikatakan enggan memakan ubat yang dibekalkan pihak hospital selain kerap memberitahu dia sering terdengar suara yang mengajaknya bercerita.

“Pasukan perubatan Hospital Tuaran yang tiba di lokasi kejadian pula mengesahkan mangsa meninggal diunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, setakat ini, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Bagaimanapun katanya, siasatan kes masih diteruskan dan polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya tampil memberi kerjasama.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda