Berita Semasa

PENUMPANG BAS EKSPRES DINASIHAT PATUHI SOP PKP

image

KOTA KINABALU: Pengusaha bas ekspres di Sabah yang akan mula beroperasi esok dinasihatkan supaya memastikan penumpang mereka memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Presiden Majlis Pengusaha-Pengusaha Bas Ekspres Sabah (Seboc), Datuk Donald Hanapi berkata, penumpang yang tidak memberikan kerjasama tidak akan dibenarkan naik ke dalam bas walaupun sudah membeli tiket.

“Antara SOP yang telah ditetapkan untuk penumpang ialah wajib mengisi borang deklarasi Covid-19 untuk tujuan rujukan pihak berkuasa, memakai topeng muka, duduk berjauhan mengikut jarak yang telah ditentukan, pemeriksaan suhu sebelum menaiki kenderaan dan tidak dibenarkan untuk berhenti-henti dalam perjalanan.

“Lebih 20 pengusaha bas ekspres dengan lebih 200 buah bas telah bersedia untuk memastikan SOP yang ditetapkan akan dapat dipatuhi.

“Bagi pihak kami, hanya separuh daripada kapasiti penuh dibenarkan untuk menaiki bas. Sebagai contoh, jika kapasiti bas adalah 41, hanya 20 penumpang dibenarkan naik kerana penjarakkan sosial yang telah ditetapkan.

“Pengusaha bas juga akan memeriksa suhu penumpang sebelum naik ke dalam bas, manakala bas adalah wajib diinsfeksi sebelum dinaiki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Donald berkata, tiket bas ekspres boleh dibeli secara atas talian di aplikasi Easy Book ataupun di kaunter Terminal Bas Inanam seperti biasa.

Beliau turut mengingatkan bas ekspres tidak akan berhenti-henti seperti kebiasaan, dan berharap agar penumpang dapat bersedia apa yang patut, termasuk menunaikan solat ketika bas bergerak.

“Saya berharap maklumat ini akan sampai kepada orang ramai terutama mereka yang merancang untuk menaiki bas ekspres masa terdekat, agar tidak berlaku kekeliruan,” katanya./http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda