Berita Semasa

RM150,000 Keuntungan sehari hasil penipuan judi dalam talian

image

POLIS menumpaskan sindiket judi dalam talian dengan penahanan 22 warga China dalam serbuan di sebuah premis di Ara Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Serbuan jam 12 tengah hari itu membabitkan empat pegawai dan 20 anggota diketuai Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Deputi Superintendan Azmi Syukor.

Azmi berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 35 tahun menerima upah RM3,000 sebulan dengan mensasarkan mangsa dari China.

Menurutnya, sindiket itu baru beroperasi selama dua bulan dengan waktu kerja mereka adalah 24 jam dan dibahagi kepada dua syif.

"Mereka juga tidur, makan dan bekerja di situ bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Kita turut merampas dua komputer dan 85 telefon bimbit yang mana siasatan mendapati mereka memperoleh RM150,000 sehari hasil penipuan judi dalam talian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, premis itu disewa RM2,000 sebulan dengan dilengkapi kad akses untuk masuk ke bangunan.

"Mereka juga gagal menyerahkan pasport dipercayai dipegang oleh ejen dan kita masih mengesan dalang sindiket ini.

"Suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Katanya, siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(a), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1969.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda