Jenayah

Mayat bogel dalam kebun sayur Ditemui

image

MAYAT lelaki warga Myanmar tanpa pakaian ditemui dalam keadaan tertiarap di hadapan pondok dalam kebun sayur di Tasek Gelugor, Seberang Perai, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui majikan mangsa yang datang membuat laporan pada 8.30 pagi berhubung insiden penemuan mayat pekerjanya.

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mayat mangsa berada di hadapan pondok dalam keadaan meniarap dan tidak berpakaian.

"Siasatan juga tidak menemui sebarang barangan peribadi milik mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, majikan itu memaklumkan bahawa mangsa tidak pernah membawa rakan-rakannya ke pondok berkenaan dan kali terakhir mereka berjumpa adalah pada 1.30 tengahari semalam.

"Pemeriksaan pada luaran mangsa didapati terdapat darah beku dalam mulut mangsa dipercayai kesan luka akibat terjatuh di tanah berikutan mangsa dalam keadaan mabuk.

"Ini berikutan penemuan tin minuman keras berhampiran dengan pintu masuk pondok berkenaan," katanya.

Jelasnya, mangsa mula bekerja di kebun sayur itu pada awal April lalu dan majikannya memberi kebenaran menginap di pondok terbabit sebagai tempat tinggal.

"Tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda