Jenayah

PEMANDU REMPUH SEKATAN JALAN RAYA DIBURU

image

KOTA KINABALU: Polis kini sedang giat memburu pemandu pacuan empat roda yang merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kolombong, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, setakat ini suspek belum dikenal pasti kerana kenderaan berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

“Berdasarkan siasatan mendapati kenderaan Ford Ranger Raptor itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beralamat di Kota Marudu.

“Kita akan jejaki kenderaan dan pemandu yang terbabit berdasarkan alamat yang kita diperoleh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya juga mohon bantuan orang ramai yang ada maklumat berkenaan kes ini supaya melaporkan kepada pihak polis ke balai-balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Kenderaan Ford Ranger Raptor berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran KM95.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan bahaya,” katanya.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pemandu Ford Ranger Raptor dari arah Inanam menuju ke Luyang merempuh SJR Op Covid-19 di Jalan Kolombong dan melanggar papan tanda ‘Essential Service’.

Petugas Op Covid-19 terdiri daripada polis, tentera dan Rela cuba menahan kenderaan berkenaan menggunakan isyarat lampu suruh untuk berhenti namun kenderaan memecut laju.

Akibat kejadian itu papan tanda Essential Services, kon dan lampu yang diletakkan polis di SJR berkenaan rosak./http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda