Hiburan

SJA HARGAI KERAJAAN SABAH TELAH MEMBERI BANTUAN KEWANGAN KHAS KEPADA WARTAWAN

image

KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian bantuan kewangan khas untuk wartawan di negeri ini yang bertugas di barisan hadapan membuat liputan Covid-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal cukup prihatin dalam mempertimbangkan permintaan SJA untuk membantu wartawan barisan hadapan yang membuat liputan pandemik terbabit.

Lebih 200 wartawan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mula menerima bantuan kewangan berkenaan sejak Jumaat lepas.

Bantuan ini juga tepat pada masanya kerana banyak syarikat media terpaksa mula mengambil pendekatan memotong pembayaran elaun dan gaji pekerja berikutan hasil pendapatan syarikat yang terjejas teruk.

Sebagaimana petugas barisan hadapan yang lain, golongan wartawan juga berhadapan dengan risiko jangkitan Covid-19 yang mula merebak sejak Januari tahun ini sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SJA begitu berbesar hati dan gembira dengan bantuan kewangan yang disediakan ini memandangkan ia dapat memenuhi beberapa keperluan wartawan dan keluarga masing-masing terutama mereka yang mahu menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Sebelum ini Ketua Menteri bersama kerajaan negeri turut menyediakan sumbangan pelitup muka dan cecair pembersih tangan yang sangat diperlukan para wartawan semasa bekalan barangan berkenaan tidak mencukupi di pasaran.

Sumbangan itu turut dilihat tepat pada masanya kerana ramai dalam kalangan wartawan barisan hadapan sejak pertengahan Mac lepas terpaksa mengitar semula pelitup muka mereka akibat kekurangan bekalan dan tindakan sedemikian bertentangan dengan nasihat pakar perubatan.

Sementara itu, SJA juga menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon atas sumbangan pelitup muka kepada pihak media memandangkan ia kini menjadi keperluan pemakaian harian wartawan semasa bertugas.

SJA ingin merakamkan ucapan khas terima kasih kepada kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, syarikat minyak dan gas Petronas Malaysia dan Repsol Oil & Gas Malaysia Limited begitu prihatin dan turut sama menyumbangkan pelitup muka kepada SJA.

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda