Jenayah

MAYAT SEORANG LELAKI WARGA INDIA DITEMUI DI MANGGATAL

image

KOTA KINABALU: Bau busuk yang dihidu rakan serumah terungkai apabila mayat lelaki warga India ditemui terbaring di bilik sewanya di tingkat 2, pekan Manggatal, di sini, pagi tadi.

Lelaki berusia 66 tahun itu ditemui selepas polis selepas menerima laporan daripada salah seorang penyewa yang terhidu bau busuk di luar bilik kira-kira jam 9 pagi.

Difahamkan, mangsa bekerja di salah sebuah restoran berhampiran bilik sewanya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis ke lokasi dan menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring di bilik sewa disyaki sudah meninggal dunia.

Katanya, sepasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi siasatan lanjut dan langkah keselamatan pencegahan Covid-19.

“Siasatan awal mendapati mangsa tinggal seorang diri sejak enam bulan lalu dan bekerja di restoran berhampiran.

“Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih dua hari yang lalu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Habibi berkata, berdasarkan keterangan saksi, mangsa ada menceritakan dia menghidap masalah sakit jantung serta tekanan darah tinggi.

“Siasatan di tempat kejadian tidak menunjukkan berlaku sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dirujuk ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk dapatkan pemeriksaab lanjut Covid-19 sebelum bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sepasukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kelengkapan perlindungan diri (PPE) turut berada di lokasi kejadian./http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda