Jenayah

PACUAN EMPAT RODA REMPUH SEKATAN JALAN RAYA DI KOTA KINABALU

image

KOTA KINABALU: Sepasukan pihak berkuasa yang sedang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19, di Jalan Kolombong, di sini, dikejutkan dengan rempuhan sebuah kenderaan pacuan empat jenis Ford Ranger.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, petugas yang terdiri daripada dua anggota polis, tiga tentera dan dua Rela bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian terbabit turut menyebabkan kerosakan pada papan tanda (Essential Services), kon dan lampu.

Difahamkan, ketika kejadian semua petugas SJR Op Covid-19 baru selesai berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang giat mengesan kenderaan berkenaan.

“Ketika kejadian, kenderaan jenis Ford Ranger warna kelabu dengan nombor pendaftaran KM95 bergerak dari Jalan Tuaran Bypass menghala ke Jalan Lintas.

“Pemandu itu dipercayai memandu laju melepasi SJR lalu merempuh papan Essential Services, kon dan lampu sebelum melarikan diri,” katanya.

Habibi berkata, siasatan sedang dijalankan dan usaha untuk mengesan suspek giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Pada jam 9.35 malam, 3 April lalu, kejadian sama berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Ford Ranger merempuh SJR di lokasi sama dan terus melarikan diri.

Suspek lelaki berusia 28 tahun bagaimanapun berjaya ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 5 April lalu./http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda