Kesihatan

MALAYSIA CATAT 39 KES BAHARU, 74 LAGI PULIH : COVID-19

image

KOTA KINABALU: Malaysia hari ini mencatat 39 kes Covid-19 baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan di negara ini, setakat ini, sebanyak 6,467 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata 30 daripada jumlah kes harian itu membabitkan warga asing.

Katanya, daripada jumlah itu juga, 38 kes adalah daripada penularan tempatan dengan lapan kes (baharu) telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 74 pesakit lagi Covid-19 telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 4,776, iaitu 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,584 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Sementara itu, sejumlah 19 pesakit Covid-19 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kurang dua daripada semalam dan daripada jumlah berkenaan, seramai lapan pesakit memerlukan bantuan pernafasan, kurang satu kes berbanding semalam.

Noor Hisham turut memaklumkan tiada kematian baru dilaporkan setakat tengah hari tadi, menjadikan jumlah korban Covid-19 kekal kepada 107 kes, iaitu 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia.http://beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda