Jenayah

TIGA PENCURI KABEL BERJAYA DIBERKAS

image

KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk seorang yang memiliki lapan rekod jenayah berkaitan dadah, pecah rumah dan tipu diberkas kerana terbabit mencuri kabel milik Telekom Malaysia.

Suspek berusia 25 tahun dan dua rakan sejenayah berusia 27 dan 31 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan itu susulan laporan polis dibuat oleh kakitangan TM selepas kabel di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini dipotong disyaki dicuri, pada 30 April lalu.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek pertama di tepi Jalan Jaguh, Kampung Bunga Raya, jam 5.30 petang, kelmarin.

“Soal siasat ke atas suspek itu, membawa kepada penahanan dua lagi lelaki disyaki terbabit dengan kes curi kabel berkenaan di kawasan Tanjung Aru, pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, hasil tangkapan tiga suspek, polis merampas plastik mengandungi tembaga hampir tujuh kilogram dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel

“Siasatan mendapati, suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan narkotik, pecah rumah dan tipu.

“Polis juga sedang giat mengesan dua lagi lelaki disyaki terbabit melakukan curi kabel bersama tiga suspek terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 431(a) Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan khianat dengan membencanakan kabel./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda