Bisnes

Kedai pajak gadai jadi tumpuan orang ramai

image
KEDAI pajak gadai menjadi tumpuan orang ramai selepas hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Pengguna media sosial turut berkongsi gambar dan video orang ramai yang sanggup beratur panjang di depan kedai pajak gadai menunggu giliran.

Perkongsian berkenaan bukan sahaja kedai pajak gadai di sekitar Kuala Lumpur dikerumuni orang ramai malah beberapa negeri lain seperti Perlis, Terengganu dan Ipoh juga mengalami situasi sama.

Beberapa pengguna media sosial turut menzahirkan rasa sedih dengan situasi itu.

Menerusi akaun Twitter @mSidekJ, dia berharap emas digadaikan sememangnya disimpan untuk waktu kecemasan dan bukanlah barang kemas kahwin.

Sementara itu, @AzammAmiri menerusi platform media sosial sama berkata, simpanan emas sememangnya penting sebagai perlindungan kewangan masa depan.

Dia berkongsi kepentingan perlindungan wang penting dalam menghadapi situasi luar dugaan seperti dibuang kerja, kemalangan dan kebakaran rumah.

Menurut Diana Ramlan yang berkongsi di ruangan komen, ibunya sudah menjangka akan ramai pergi ke kedai pajak gadai berikutan simpanan sudah kurang kerana duduk di rumah saja.

"Ada pekerja yang tidak bekerja kerana majikan memberi cuti tanpa gaji selama tiga bulan dan ada juga yang sudah dibuang kerja.

"Tidak boleh tunggu dan harapkan wang dari bantuan kerajaan kerana ia pasti tidak cukup untuk menanggung sara hidup dan hutang yang perlu dilunaskan.

"Pajak gadai emas adalah pilihan terakhir mereka," katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.

Selain itu, ramai pengguna media sosial turut memberi kata semangat kepada semua yang berdepan dengan situasi berkenaan.

Mereka mendoakan semoga urusan dipermudahkan dan diberi peluang untuk terus kuat di waktu mencabar ini.
Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda