Berita Semasa

KERAJAAN SABAH MAHU KEKAL LAKSANA PKP, MAHU FOKUS USAHA SELAMATKAN NYAWA

image

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal menegaskan pendirian kerajaan negeri meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan ‘mahu cari gaduh’, sebaliknya mahu memfokuskan usaha menyelamatkan nyawa.

“Pendirian kita agak jelas. Ini bukan waktunya kita nak gaduh tentang siapa ada kuasa.

“Saya boleh cakap (mengenai undang-undang). Saya pun ahli politik berpengalaman. Di Parlimen berapa undang-undang kita gubal.

“Tetapi, jangan buang masa untuk itu. Kita perlu mara dan kita perlu tangani Covid-19 dan ekonomi. Kita tidak boleh lihat dari segi perniagaan saja, tetapi bukannya nyawa manusia,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas amaran Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali yang mengatakan kerajaan negeri mungkin berdepan tindakan saman daripada pihak industri kerana tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Shafie berkata, beliau lebih takut disaman waris pesakit yang terkorban akibat Covid-19.

“Perniagaan mungkin kita boleh pulihkan, nyawa manusia tidak boleh dipulihkan. Kita tidak boleh menggantikannya selepas mereka meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut menafikan Putrajaya pernah berunding dengan negeri itu untuk menggantikan PKP dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Sebelum pengumuman dibuat, tiada siapa yang berhubung dengan saya.

“Kita hanya tahu menerusi TV yang keputusan sudah dibuat.

“(Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump pun hubungi gabenor dia”.

“Kita yang akan melaksanakan keputusan yang dibuat mereka tetapi, sama ada mereka tahu dan faham keadaan di peringkat negeri ini boleh tak dilaksanakan apa yang mereka putuskan?,” katanya lagi./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda