Hiburan

PISAAN MENYAHUT SERUAN UPKO, SOKONG TARIK BALIK MYKAD

image

PITAS: Persatuan Rungus Pitas Sabah (Pisaan) menyokong penuh gerakan menandatangani petisyen bagi menarik dan menukarkan MyKad sedia ada kepada Mykad baharu.

Petisyen secara atas talian tersebut merupakan gerakan yang dimulakan oleh sekumpulan aktivis pemuda pro UMNO di Semenanjung Malaysia yang mendesak Kerajaan Persekutuan mempercepatkan cadangan mewujudkan kad pengenalan baharu dengan segera.

Presiden Pisaan, Richard Mazagi berkata, keputusan untuk menyokong gerakan tersebut dibuat bagi menyahut seruan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) oleh Presidennya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang memaklumkan seluruh Ahli UPKO akan menandatangani petisyen itu memandangkan ia seiring dengan perjuangan parti tersebut.

“Selain daripada parti UPKO, perkara ini juga telah menjadi perjuangan beberapa persatuan berasaskan suku etnik di negeri Sabah, termasuk Pisaan, yang menentang sekeras-kerasnya penyelewengan yang berlaku terhadap pemberian kad kewarganegaraan di negara ini,” katanya.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri dalam kenyataannya baru-baru ini berkata peningkatan penduduk Sabah yang berlaku di Sabah adalah luarbiasa dan tidak masuk akal.

Sebagai contoh, pertambahan penduduk Bumiputera Sabah dari tahun 1960 hingga 2000 ialah 417 peratus.

“Pertambahan ini sama seperti sepasang suami isteri menghasilkan 834 anak dalam tempoh 40 tahun,” katanya.

Menurut Richard, penukaran kad pengenalan kepada yang baru bukanlah asing kerana Malaysia telah pernah menukarnya selama empat kali sebelum ini.

“Dengan membatalkan kad pengenalan sedia ada, kerajaan akan dapat mencari penyelesaian masalah ini dengan tidak mengeluarkan kad pegenalan baru kepada mereka yang mendapatkannya secara rasuah,” katanya.

Petisyen tersebut boleh diakses melalui pautan http://chng.it/68nNDqRX. /beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda