Jenayah

2 JUTA BATANG ROKOK DIRAMPAS, PENYELUDUP BERJAYA DIBERKAS

image

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan menahan dua lelaki dipercayai penyeludup dan merampas dua juta batang rokok di Pusat Pemeriksaan Jalan (RCP) Sapi Nangoh, dekat Beluran, malam tadi.

Ia susulan penahanan terhadap sebuah lori kontena yang dalam perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Difahamkan, lori terbabit yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dan ketika melalui pusat pemeriksaan itu, suspek dikatakan mengemukakan dokumen mencurigakan dan enggan memberi kerjasama apabila diminta membuka pintu kontena terbabit.

Pegawai Memerintah PGA Batalion 15 Sandakan, Superintendan Toipi Lamat, berkata pemandu lori terbabit turut memberi alasan kunci pintu kontena tertinggal di Sandakan dan mengatakan pemillik kontena akan datang  ke lokasi itu membawa kunci.

“Pada jam 12.40 tengah malam, seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengaku sebagai pemilik kontena datang ke lokasi terbabit.

“Pemilik itu juga enggan memberi kerjasama dan enggan membuka kontena untuk diperiksa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Toipi berkata, pemilik terbabit kemudian mengaku bahawa kontena itu membawa muatan rokok sebelum ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

Katanya, kontena terbabit hanya dibuka sebaik tiba di IPD Beluran dan didapati ia berisi pelbagai jenis rokok tidak bercukai.

“Anggaran keseluruhan rampasan termasuk lori adalah RM1.65 juta,” katanya.

Toipi berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan kedua-dua suspek juga akan didakwa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kes disiasat mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020./beritasabah.com

Kongsikan Berita Ini

Tinggalkan Komen Anda